Sunday, March 1, 2009

[ entry cerpen ] Jendela Kehidupan

Titisan air jernih, tiba-tiba mengalir, melintasi kelopak matanya yang tampak sembab itu. Tasik air mata yang bergenang sejak tadi lagi, kini sudah mula melimpah, mencurahkan runtunan perasaan yang selama ini ditahannya. Perasaan berdosa yang setiap saat menghantui dirinya. Berdosa pada Tuhan yang menciptanya. Berdosa pada jasad yang tidak mengerti apa-apa.

Pandangannya dilemparkan jauh , meneliti pada pepohon sakura yang mekar, tersusun indah, menghiasi jalan utama di kota kecil itu. Jendela georgian house dilungsurkan sedikit ke atas, berasak bayu dingin masuk mengisi ruangan bilik yang panas itu. Hatinya tersentuh pada warna ungu lembut sakura yang menghiasi pandangan pancainderanya.



Dia termenung panjang, mengenangkan nasib hidup yang berliku. Hidup yang dianugerahkan kepadanya adalah kehidupan yang nyata. Bukanlah satu percubaan apatah lagi sebuah lakonan.Namun hidup itu adalah satu perjuangan. Perjuangan yang bakal membawanya menghadapi Tuhan. Pada hari yang dijanjikan.

Dia terus membiarkan nostalgia kisah kehidupannya menari-nari di fikiran. Sesekali , tangannya mengesat titisan air mata yang semakin laju jatuh berguguran. Nostalgia itu benar-benar membangkitkan sebuah penyesalan; dirinya terlalu hina dipalit dosa silam; apatah lagi mengenangkan dirinya yang semakin jauh dari Tuhan.

Sampai bilakah aku harus menangis meratapi kekesalan? Hatinya berhujah tegas. Ya, hatinya kini yakin, dia perlu berubah demi menagih keberkatan. Keberkatan yang hanya bakal hadir dari ehsan Tuhan. Tuhan yang menciptakan segala kejadian.

Sejadah biru laut dihamparkannya di lantai. Dia lalu tekad menyembah Tuhan, seikhlas mungkin mendambakan sejuta keampunan. Keampunan dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penerima taubat setiap insan.

"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. Az-Zumar: 53)

Friday, February 27, 2009

Malaysia is a journey , not a destination


Cuti Musim panas bakal tiba tak lama lagi. Berbondong-bondonglah student Malaysia di sini men"survey" tiket. Mahu pulang ke kampung halaman, menziarahi kaum keluarga dan sanak saudara. Tidak kurang juga pada mereka yang masih dalam dilema , mahu pulang ataupun stay sahaja di sini menimba pengalaman di negeri orang.

Malaysia, sebuah negara kecil di benua Asia. Negara yang dulunya indah permai, terkenal dengan kisah Parameswara dan anjingnya. Terkenal dengan tradisinya, sopan santun dan tulus masyarakat Melayu menggamit seribu satu pintu rezeki.

Kini, Malaysia juga masih ada kisah popularnya. Menara KLCC, menjadi kebanggaan jua tempat berteduh pasangan-pasangan yang sedang mabuk dilamun cinta. Pantai yang bersih , biru menghening namun seringkali dikotori najis maksiat ciptaan manusia.

Oh Malaysiaku, tempat di mana aku mengenal erti Islam, menelaah erti hidup, jua belajar erti perjuangan. Terlalu banyak yang boleh kubanggakan denganmu , namun lagi banyak yang kukesali atas apa telah yang berlaku. Kekesalan bukanlah untuk meratapi kejadian yang telah berlaku, sebaliknya kekesalan yang harus hadir bersama roh perjuangan.

Perjuangan yang kugambarkan tiada kesudahan, biar mati, tukar silih berganti tujuh generasiku.
Oh Malaysiaku, di sana masih banyak lompong kekosongan, pada pemikiran manusia, pada sistem kehidupan jua. Sistem yang harus dan seharusnya selari mengikut kehendak Penciptamu, oh Malaysiaku.

Cinta pada tanah air ini tidak pernah lekang, biar berjuta batu kulangkah. Bukan untuk aku menggarap "asabiyah" tetapi aku yakin, itulah tempat bakal bermulanya sebuah harapan. Kuharapkan titisan keringat dan doa yang sekelumit pasir di pantai mampu kuhimpun menjadi sebuah bangunan yang kukuh dan utuh, menjadi benteng jua tempat berteduh buat orang-orang beriman.

p/s: penulis sedang berkira2 utk pulang atau tidak summer ni. adeh

Wednesday, February 25, 2009

[ entry hati ] erti sabar dan redha

Aku bukanlah orang yang layak untuk berbicara soal sabar apatah lagi berbicara tentang hati yang redha. Sabar itu meruntun komitmen hati yang berpanjangan, manakala redha membuatkan komponen hati menjadi damai, indah jua tenang tanpa sebarang kekesalan.

Sabar dan redha, adalah dua komponen yang harus bersinergi, mampu membuahkan minda hamba yang sentiasa positif. Perjuangan mana yang tidak pernah dilanda badai, kehidupan mana yang tidak pernah ditimpa gelora .

Aku teringat pada kisah Rasulullah, seorang anak yatim piatu yang terlalu tabah menghadapi ujian duniawi. Rasul adalah kekasih Allah, dipelihara peribadinya, namun tetap jua diuji. Begitu jua orang-orang beriman yang terdahulu. Mereka ditimpa ujian , sehingga mereka mengatakan bilakah pertolongan Allah akan tiba. sesungguhnya pertolongan Allah itu terlalu dekat.

Oleh itu, kunukilkan pada hati yang kerdil ini;
Wahai diri, bangunlah. kerana pertolongan Allah itu terlalu dekat denganmu. perjuangan hidup perlu diteruskan biarpun terlalu berkecamuk dan bersimpang siur.

Saturday, February 7, 2009

bila kita diuji...

Rindu untuk menulis menggamit hati saya untuk menjenguk blog ini; tanpa sedar sudah lama rupanya saya tidak singgah sebentar sambil menukilkan secebis idea juga berkongsi seulas rasa. Terlalu banyak peristiwa dan episod hidup yang seringkali mengisi hari-hari yang berlalu;tanpa disedari menjadi memori yang mungkin mendidik jiwa untuk menjadi lebih matang dan bersangka baik padaNya.

Ujian demi ujian mengisi hari-hari lalu. Kadang-kadang terfikir jua pada reliti diri. Mampukah keredahi setiap ujian yang seringkali bertandang? Mampukah kugalasi bebanan yang datang tanpa kuundang? Sungguh tidak adil bagiku mempertikaikan rencana Tuhan. Namun, itulah yang berlaku pada diri yang penuh alpa lagi penuh hina ini.

Itulah hakikatnya. Bila kita diuji.. barulah kita tahu teori dan praktikaliti. Bila kita diuji, barulah kita sedar pada hakikat diri.

Bukannya mudah untuk mendidik diri menjadi tabah, bukannya mudah mengajar diri pada erti redha.Juga begitu sukar untuk mendidik hati ke arah sabar, apatah lagi mengajar diri pada hakikat keikhlasan.

Tapi, itulah tuntutan di sebalik setiap ujian. Kita diuji supaya kita tabah. Perkataan yang begitu mudah untuk diungkap;namun tabah itu terlalu rapuh- hanya mampu dibimbing oleh keikhlasan kita pada Tuhan, kesabaran dan jua kecekalan.

Ingatlah wahai diri, kamu tidak diuji hanya untuk sia-sia. Renunglah wahai diri, Tuhan sedang berbicara denganmu pada erti redha dan keikhlasanmu padaNya.

Firman Allah Taala:
Justify Full
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." Surah Al-Ankabut ayat 2-3 .

Di kesempatan ini, saya panjatkan doa kepada sahabat2 pembaca, yang mungkin dikala ini sedang diuji, yang telah diuji atau bakal diuji; moga kita tergolong dalam golongan yang benar, dan bukanlah dari golongan yang dusta.

Juga khususnya kepada sahabat-sahabat yang pernah mengisi ruangan "poll" di sebelah. Moga perjalanan hidup kita dipermudahkan dan diredhaiNya.

Tuesday, January 27, 2009

Kidung Bumi


Kidung Bumi - Fully Feat.Vagabond

Yang kelabu hening telaga biru
Berubah menjadi ungu senja
Tak terkikis batu hitam kelam
Di atas tegak tebing yang bersahaja

Semburat warna-warni cakrawala
Adalah lukisan terindah
Rindu air pada muara
Setelah lelah berliku

Chorus
Kepada-Nya embun-embun pagi dan kabut malam hari berdoa
Memohonkan ampun bagi siapa saja dan bersimpuh lantunkan rasa
Hidup pada-Nya

Yang setia cahaya nan agung
Menebar pijar hangati mayapada
Belai angin pada dedaunan
Ingatkan kembang untuk tetap merekah

Manjakan penghuni perebut karunia
patuhi titah-Nya Sang Perkasa
Rangkuli kicau jagat raya
Sampai masa tak berdegup

Tak pernah bumi ini mengadu
Walau terinjak bertapak
Namun tetap tumbuh
Gempita puja-puji semesta
Selaraskan pengakuan pada Dia Yang Esa

Sunday, January 11, 2009

Entry cerpen : Monolog Seorang Hamba

Dia bergegas-gegas mengikuti segerombolan manusia di situ. Lantas, banner bertulis “free Palestine “ dipegang erat-erat, kadang-kadang diangkat tanda protes dan marah pada rejim Israel laknatullah.

“Hey Hey Olmert Hey! “ “how many children you kill today!!”
“Hey Hey Olmert Hey! “ “how many children you kill today!!”

Berkobar-kobar mereka melaungkan sorakan, melepaskan rasa benci dan marah. Kasut di baling pada pepohonan yang membentengi bangunan kedutaan Israel. Benci. Geram. Marah. Kata- kata ini tidak dapat menggambarkan perasaannya yang sebenar.

Suasana petang itu sangat gamat. Gamat dengan sorakan protes. Kedinginan kota Dublin yang mencecah suhu 7 darjah selsius, bukanlah alasan untuk dia tidak bersama kumpulan tersebut. Baginya ini adalah jalan untuk mendesak kerajaan, mendesak EU, memberi kesedaran kepada masyarakat awam tentang kekejaman Israel. Israel tidak patut diterima di bumi ini! Jerit hatinya.

Terkenang dia seketika pada kanak-kanak palestin yang berlari-larian demi mendapatkan sekeping roti. Juga pada lumuran darah merah, membaluti tubuh kecil yang terlalu suci, jelas terpampang pada foto-foto yang dipamerkan. Dia kagum, dia hairan pada semangat golongan berkulit putih, berbangsa Irish yang bertungkus lumus menjayakan protes tersebut. Mereka tiada talian persaudaraan, mereka tiada talian agama, cuma talian kemanusiaan sahajalah yang menghubungkan mereka dengan rakyat palestin.
Terdetik di hatinya, “kalau mereka yang hanya dihubungkan dengan tali kemanusiaan ; sanggup berhempas pulas, mahu melenyapkan keganasan Israel . maka, haruskah aku lebih daripada itu? Atau cukup aku sekadar selaras dengan mereka? Padahal aku ada satu lagi tali yang erat. Talian yang menghubungkan mereka dengan Allah, dan aku dengan Allah?
Mereka berdemonstrasi, aku juga mahu sebaris dengan mereka
Mereka memboikot barangan Israel , aku juga mahu turut serta.

Lamunannya tersentak dengan laungan takbir yang bergema.

“takbir !!”... “ Allahu akbar !!”
“takbir !!”... “ Allahu akbar !!”

Dia terpinga-pinga mencari punca suara-suara tersebut. Ternyata ramai umat islam yang datang menunjukkan bantahan mereka. Namun apa yang lebih menarik perhatiannya adalah apabila dia melihat sekumpulan wanita Irish, yang sama-sama melaungkan takbir, walaupun susah untuk diperincikan pegangan agama mereka. Subhanallah...

Sejenak dia terfikir kembali, laungan takbir tadi mengingatkan dia pada para mujahidin yang sedang atau telah berjuang. Mujahidin yang harga darahnya hanya mampu dibayar oleh syurga ;Mujahidin yang nyawanya hanya untuk diserahkan di jalan Allah.
“ Tuhanku, pilihlah kami semua , sebagai tentera mujahidinMu ya Allah..”dia bermonolog lagi, dengan harapan, monolognya itu diterima yang Esa.




Saturday, January 3, 2009

entry koleksi : tahniah buat mereka yang bukan di gaza


Mereka bergelumang gelita,
Menumpang teduh pada capahan pelita,
Tahniah buat kita,
Malam kita tidak pernah sepi tanpa cahaya.

Mereka merintih derita,
Perut menahan, tiada apa untuk dicerna.
Tahniah buat kita,
kita ada kuasa,
menjamah produk Israel dan sekutunya.

Mereka gundah gulana;
Tentang erti berjuta nyawa.
Tahniah kepada kita,
Kita masih selesa,
Tidak perlu kita fikirkan tentang nasib mereka.