Sunday, January 11, 2009

Entry cerpen : Monolog Seorang Hamba

Dia bergegas-gegas mengikuti segerombolan manusia di situ. Lantas, banner bertulis “free Palestine “ dipegang erat-erat, kadang-kadang diangkat tanda protes dan marah pada rejim Israel laknatullah.

“Hey Hey Olmert Hey! “ “how many children you kill today!!”
“Hey Hey Olmert Hey! “ “how many children you kill today!!

Berkobar-kobar mereka melaungkan sorakan, melepaskan rasa benci dan marah. Kasut di baling pada pepohonan yang membentengi bangunan kedutaan Israel. Benci. Geram. Marah. Kata- kata ini tidak dapat menggambarkan perasaannya yang sebenar.

Suasana petang itu sangat gamat. Gamat dengan sorakan protes. Kedinginan kota Dublin yang mencecah suhu 7 darjah selsius, bukanlah alasan untuk dia tidak bersama kumpulan tersebut. Baginya ini adalah jalan untuk mendesak kerajaan, mendesak EU, memberi kesedaran kepada masyarakat awam tentang kekejaman Israel. Israel tidak patut diterima di bumi ini! Jerit hatinya.

Terkenang dia seketika pada kanak-kanak palestin yang berlari-larian demi mendapatkan sekeping roti. Juga pada lumuran darah merah, membaluti tubuh kecil yang terlalu suci, jelas terpampang pada foto-foto yang dipamerkan. Dia kagum, dia hairan pada semangat golongan berkulit putih, berbangsa Irish yang bertungkus lumus menjayakan protes tersebut. Mereka tiada talian persaudaraan, mereka tiada talian agama, cuma talian kemanusiaan sahajalah yang menghubungkan mereka dengan rakyat palestin.
Terdetik di hatinya, “kalau mereka yang hanya dihubungkan dengan tali kemanusiaan ; sanggup berhempas pulas, mahu melenyapkan keganasan Israel . maka, haruskah aku lebih daripada itu? Atau cukup aku sekadar selaras dengan mereka? Padahal aku ada satu lagi tali yang erat. Talian yang menghubungkan mereka dengan Allah, dan aku dengan Allah?
Mereka berdemonstrasi, aku juga mahu sebaris dengan mereka
Mereka memboikot barangan Israel , aku juga mahu turut serta.

Lamunannya tersentak dengan laungan takbir yang bergema.

“takbir !!”... “ Allahu akbar !!”
“takbir !!”... “ Allahu akbar !!”

Dia terpinga-pinga mencari punca suara-suara tersebut. Ternyata ramai umat islam yang datang menunjukkan bantahan mereka. Namun apa yang lebih menarik perhatiannya adalah apabila dia melihat sekumpulan wanita Irish, yang sama-sama melaungkan takbir, walaupun susah untuk diperincikan pegangan agama mereka. Subhanallah...

Sejenak dia terfikir kembali, laungan takbir tadi mengingatkan dia pada para mujahidin yang sedang atau telah berjuang. Mujahidin yang harga darahnya hanya mampu dibayar oleh syurga ;Mujahidin yang nyawanya hanya untuk diserahkan di jalan Allah.
“ Tuhanku, pilihlah kami semua , sebagai tentera mujahidinMu ya Allah..”dia bermonolog lagi, dengan harapan, monolognya itu diterima yang Esa.




No comments: