Friday, February 27, 2009

Malaysia is a journey , not a destination


Cuti Musim panas bakal tiba tak lama lagi. Berbondong-bondonglah student Malaysia di sini men"survey" tiket. Mahu pulang ke kampung halaman, menziarahi kaum keluarga dan sanak saudara. Tidak kurang juga pada mereka yang masih dalam dilema , mahu pulang ataupun stay sahaja di sini menimba pengalaman di negeri orang.

Malaysia, sebuah negara kecil di benua Asia. Negara yang dulunya indah permai, terkenal dengan kisah Parameswara dan anjingnya. Terkenal dengan tradisinya, sopan santun dan tulus masyarakat Melayu menggamit seribu satu pintu rezeki.

Kini, Malaysia juga masih ada kisah popularnya. Menara KLCC, menjadi kebanggaan jua tempat berteduh pasangan-pasangan yang sedang mabuk dilamun cinta. Pantai yang bersih , biru menghening namun seringkali dikotori najis maksiat ciptaan manusia.

Oh Malaysiaku, tempat di mana aku mengenal erti Islam, menelaah erti hidup, jua belajar erti perjuangan. Terlalu banyak yang boleh kubanggakan denganmu , namun lagi banyak yang kukesali atas apa telah yang berlaku. Kekesalan bukanlah untuk meratapi kejadian yang telah berlaku, sebaliknya kekesalan yang harus hadir bersama roh perjuangan.

Perjuangan yang kugambarkan tiada kesudahan, biar mati, tukar silih berganti tujuh generasiku.
Oh Malaysiaku, di sana masih banyak lompong kekosongan, pada pemikiran manusia, pada sistem kehidupan jua. Sistem yang harus dan seharusnya selari mengikut kehendak Penciptamu, oh Malaysiaku.

Cinta pada tanah air ini tidak pernah lekang, biar berjuta batu kulangkah. Bukan untuk aku menggarap "asabiyah" tetapi aku yakin, itulah tempat bakal bermulanya sebuah harapan. Kuharapkan titisan keringat dan doa yang sekelumit pasir di pantai mampu kuhimpun menjadi sebuah bangunan yang kukuh dan utuh, menjadi benteng jua tempat berteduh buat orang-orang beriman.

p/s: penulis sedang berkira2 utk pulang atau tidak summer ni. adeh

Wednesday, February 25, 2009

[ entry hati ] erti sabar dan redha

Aku bukanlah orang yang layak untuk berbicara soal sabar apatah lagi berbicara tentang hati yang redha. Sabar itu meruntun komitmen hati yang berpanjangan, manakala redha membuatkan komponen hati menjadi damai, indah jua tenang tanpa sebarang kekesalan.

Sabar dan redha, adalah dua komponen yang harus bersinergi, mampu membuahkan minda hamba yang sentiasa positif. Perjuangan mana yang tidak pernah dilanda badai, kehidupan mana yang tidak pernah ditimpa gelora .

Aku teringat pada kisah Rasulullah, seorang anak yatim piatu yang terlalu tabah menghadapi ujian duniawi. Rasul adalah kekasih Allah, dipelihara peribadinya, namun tetap jua diuji. Begitu jua orang-orang beriman yang terdahulu. Mereka ditimpa ujian , sehingga mereka mengatakan bilakah pertolongan Allah akan tiba. sesungguhnya pertolongan Allah itu terlalu dekat.

Oleh itu, kunukilkan pada hati yang kerdil ini;
Wahai diri, bangunlah. kerana pertolongan Allah itu terlalu dekat denganmu. perjuangan hidup perlu diteruskan biarpun terlalu berkecamuk dan bersimpang siur.

Saturday, February 7, 2009

bila kita diuji...

Rindu untuk menulis menggamit hati saya untuk menjenguk blog ini; tanpa sedar sudah lama rupanya saya tidak singgah sebentar sambil menukilkan secebis idea juga berkongsi seulas rasa. Terlalu banyak peristiwa dan episod hidup yang seringkali mengisi hari-hari yang berlalu;tanpa disedari menjadi memori yang mungkin mendidik jiwa untuk menjadi lebih matang dan bersangka baik padaNya.

Ujian demi ujian mengisi hari-hari lalu. Kadang-kadang terfikir jua pada reliti diri. Mampukah keredahi setiap ujian yang seringkali bertandang? Mampukah kugalasi bebanan yang datang tanpa kuundang? Sungguh tidak adil bagiku mempertikaikan rencana Tuhan. Namun, itulah yang berlaku pada diri yang penuh alpa lagi penuh hina ini.

Itulah hakikatnya. Bila kita diuji.. barulah kita tahu teori dan praktikaliti. Bila kita diuji, barulah kita sedar pada hakikat diri.

Bukannya mudah untuk mendidik diri menjadi tabah, bukannya mudah mengajar diri pada erti redha.Juga begitu sukar untuk mendidik hati ke arah sabar, apatah lagi mengajar diri pada hakikat keikhlasan.

Tapi, itulah tuntutan di sebalik setiap ujian. Kita diuji supaya kita tabah. Perkataan yang begitu mudah untuk diungkap;namun tabah itu terlalu rapuh- hanya mampu dibimbing oleh keikhlasan kita pada Tuhan, kesabaran dan jua kecekalan.

Ingatlah wahai diri, kamu tidak diuji hanya untuk sia-sia. Renunglah wahai diri, Tuhan sedang berbicara denganmu pada erti redha dan keikhlasanmu padaNya.

Firman Allah Taala:
Justify Full
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." Surah Al-Ankabut ayat 2-3 .

Di kesempatan ini, saya panjatkan doa kepada sahabat2 pembaca, yang mungkin dikala ini sedang diuji, yang telah diuji atau bakal diuji; moga kita tergolong dalam golongan yang benar, dan bukanlah dari golongan yang dusta.

Juga khususnya kepada sahabat-sahabat yang pernah mengisi ruangan "poll" di sebelah. Moga perjalanan hidup kita dipermudahkan dan diredhaiNya.