Sunday, March 29, 2009

Kenapa Harus Dengki pada Tuhan??

Pelik dan aneh,
muslim zaman sekarang berpolitik untuk menjatuhkan islam.
Pelik dan aneh,
muslim zaman sekarang takutkan kebangkitan islam .
Lagi pelik lagi aneh,
muslim zaman sekarang mendabik dada dengan budaya barat yang berjaya diamalkan.
Lagi pelik lagi aneh,
muslim zaman sekarang menikam pejuang islam dari belakang.


Gerun sangat ke kalau Islam memerintah? Zalim sangat ke hukum Islam? Orang kaya akan terus jatuh miskin ke dengan Islam? Orang pandai akan terus jadi bodoh ke dengan Islam.

Hmm.. pelik. Sungguh pelik. Aneh juga. Muslim takut dengan hukum Tuhannya, sedang dia mengucapkan kesaksiannya pada Tuhan, pada Rasul. Kenapa harus takut untuk dipotong tangan sedang kamu tidak mencuri. Kenapa harus takut untuk direjam sedang kamu tidak pernah berzina?

Sangat hairan, kenapa manusia "intelek" takut dengan Islam. Sedangkan ilmu yang sedikit, dan kekayaan duniawi itu semuanya dari Tuhan. Apakah kamu merasakan ilmu intelek kamu itu lebih hebat dari ilmu Tuhan; undang-undang yang kamu gubal lebih teliti dari undang-undang Tuhan?

Bangunlah wahai semua umat islam. Jangan biarkan perasaan hasad dengkimu melambatkan proses kebangkitan Islam. Dan yang paling buruk, janganlah jadikan perasaan hasad dengkimu menjadi senjata untuk menyerang Tuhanmu. Kerana kamu pasti, dan pasti akan tewas jika kamu tidak berundur diri dan bertaubat. Dan pastinya Islam akan bangun suatu hari nanti tanpa kamu, dan tanpa orang-orang yang dengki kepada Tuhannya.


”Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Al-Maidah : 50)


p/s: Tuhanku, kau ampunkanlah sesiapa sahaja yang tanpa sedar dan tanpa faham menentang hukumMu, Kau berilah hidayah kepada mereka, moga-moga mereka akan menjadi golongan dihadapan, memegang panji-panji Islam.

Sunday, March 22, 2009

[ lirik pilihan ] Mutiara Hati


Mutiara Hati - Novi (New Sakha)\

Ku rindu kasih sayangmu
Kau pergi tinggalkanku
Masih lekat di hati ini
Kau bilang ku mutiara hati…

Intro: II

Ku ingin berjumpa denganmu
Bunda t’lah menghadap Ilahi
Biarkanlah hanya dalam mimpi
‘Tuk menghapus semua rinduku

Reff:

Ya Allah berikanlah aku
Bunda yang berhati mulia
Sebagai ganti dia yang pergi
‘Tuk membimbing menuju Ridho-Mu

Back To: Intro II

Pancarkanlah cahaya-Mu pada jiwaku ini
‘Tuk dapat rahmat Karunia-Mu


p/s : lagu yang sangat menyentuh hati dan cukup bermakna ..

Saturday, March 21, 2009

[ klinik hati ] siapa perlu merawat dan perlu dirawat?




Anda pernah rasa best @ kembang hidung bila dipuji?

Anda pernah buat sesuatu kerana seseorang?

Anda pernah rasa diri anda hebat dari orang lain?

Anda pernah rasa dengki dengan kelebihan orang lain?

atau

anda pernah malas untuk bekerja/ berfikir??

Jika anda menjawab "YA" pada mana2 soalan, jom sama2 kita kita buat "spiritual examination" untuk mengenalpasti bahagian hati kita yang mengalami masalah.

Apa kata Rasulullah tentang hati ?
“ ...Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad manusia ada seketul daging, daging itu baik maka baiklah seluruh anggota, jika daging itu rosak, rosaklah seluruh anggota” Riwayat Bukhari.

Apa pula firman Allah s.w.t tentang orang yang mempunyai penyakit hati?

Surah Al-Baqarah : Ayat 10 yang bermaksud : “ Dalam hati mereka ada penyakit ,lalu ditambah Allah penyakitnya ; dan bagi mereka siksa yang pedih disebabkan mereka berdusta “.

Besar kan peranan hati ni, sampai ada pepatah arab yang mengatakan:

" Hati itu adalah menteri yang menasihati"

Terlalu banyak sebenarnya penyakit-penyakit hati. Diri kita lebih mengenali hati sendiri. Awas, jangan sesekali kita biarkan hati kita berpenyakit, sebab kita akan jadi orang yang hina di sisi Allah kelak. Mahukah kita masuk kategori tersebut? Nauzubillah...

InsyaAllah Jika diberikan kesempatan masa dan kudrat olehNYA, kita akan bincangkan dengan lebih lanjut mengenai penyakit-penyakit hati di entry yang akan datang.

Buat masa ini, saya rasa eloklah sama-sama kita kenal apa itu hati , dan apa fungsinya . kenalpasti symptom2 penyakit hati yang mungkin kita ada. Ingat, penyakit ini perlu segera dirawat, kalau tidak bukan sahaja diri anda sengsara, mungkin juga akan melibatkan perbuatan anda terhadap orang lain.



p/s : Jom sama-sama amik stethoscope dan manual dan sama-sama kita auscultate hati kita + cari sign symptom yang mungkin ada. dan ingat, common things always come first unless u r a complicated person !

Wednesday, March 18, 2009

[ entry koleksi ] Izinkan aku menyembahMu


Pada helaan nafasku
Aku ingin menyembahMu.
Biar kontang hawanya
Aku mahu menyembahMu.

Pada degupan jantungku
Aku ingin menyembahMu
Biar terhenti detaknya
Aku mahu menyembahMu

Tiap detik yang berlalu
Tak perlu kubazirkan lagi
Tika dahi mencecah ke bumi
Tidak perlu kubiarkan;
ia hadir tanpa hati menemani

Tuhan,
Roh ini bukan pada kuasaku
Yang bisa kukawal di mana kesudahannya
Tapi engkau adalah Penyelia
pada roh dan jasad yang kerdil lagi hina
Lalu kupohon padaMu
Izinkan aku menyembahMu
Hingga helaan nafas terakhirku.

P/s : sajak ini adalah rentetan daripada tazkirah from my housemate tentang "solat" . Tazkirah yang sungguh bermakna bagi diri ini. Tazkirah yang mengingatkan kita bahawa kita menyembah Allah bukanlah hanya pada solat, tapi pada setiap apa yang kita kerjakan, setiap waktu dan ketika. Maka, beringatlah atas apa yang kita lakukan agar kita tidak sesekali "menyembah" selain dari Allah e.g Nafsu, Harta, etc.. Wallahu a'alam.
Moga kita semua tergolong dari golongan yang dibimbingNya, moga hidup dan mati kita hanya keranaNya.

Sunday, March 15, 2009

[ Lirik pilihan ] SUNNAH ORANG BERJUANG

Berjuang menempah susah
Menanggung derita menongkah fitnah
Itulah gelombang hidup samudera duka
Seorang mujahid memburu syahid


Dibuang dia berkelana
Dipenjara dia uzlah dibunuh syahid
Namun jiwa tetap mara menuju cita
Membara demi Allah dan Rasul Nya


Berjuang tak pernah senang
Ombak derita tiada henti
Tenang tegang silih berganti
Inilah sunnah orang berjuang


Malamnya bagai rahib merintih sayu
Dihiris dosa air mata
Siangnya bagaikan singa di rimba
Memerah keringat meluah tenaga


Berjuang memang pahit
Kerana syurga itu manis
Bukan sedikit mahar yang perlu bayar
Bukan sedikit pedih yang ditagih


Berjuang ertinya terkorban
Rela terhina kerana kebenaran
Antara dua pasti terjadi
Tunggulah syahid atau menang



Klik Sini untuk mendengar nasyid

Thursday, March 12, 2009

[ entry urgent !]Saat terakhirku...




SITUASI 1

Bayangkan anda di dalam dewan peperiksaan. Satu peperiksaan yang paling susah yang anda pernah duduki. Dah baca dah.. tapi cuma kurang ingat. Lagipun soalan dia semua melibatkan aplikasi terhadap teori yang dipelajari...
"Hmm.. susahnya la soalan ni. Skip dulu la.." Penuh tanda bulat pada nombor soalan. Dari soalan 1-20, baru 7 soalan dapat dijawab, tu pun hasil "gorengan" yang mantap. Soalan keseluruhannya ada 100..
Tiba-tiba anda terdengar " Perhatian, peperiksaan akan tamat dalam masa 5 minit lagi, sila pastikan angka giliran ditulis di setiap helaian kertas, sila akhiri ayat-ayat terakhir anda.."
Rasa-rasanya, apa respon kita ketika itu ek ? Kalau saya, secara jujurnya memang tak tergambar la tahap cuak tu. Tahap adrenaline mungkin selaju bullet menuju ke receptor . Gelabah. Cemas. Cuak. Berpeluh. Takut. Bimbang. Sedih. Menyesal. Semua ada. Pendek kata, aku sedang cemas!!!!

SITUASI 2

Sekarang cuba bayangkan anda sedang mendengar lagu-lagu yang anda minat daripada ipod anda. Orang kata tengah mendengar "halwa telinga" la. Rentak dan irama dia, memang buat anda rasa best . Anda jadi bersemangat, best giler lagu ni.. anda memuji-muji sendirian.
Tiba-tiba, ada pop-up message, "Battery is low . 5% remaining". Geram tak rasa dihati? Pasti ada di antara kita yang pernah menyumpah-nyumpah. "Ish, time ni la plak nak habis bateri... tadi kat rumah taknak habis.. bila orang kuar rumah nak buat hal plak.."
Geram. Rasa menyesal tak charge bateri tadi. Banyak lagi la perasaan yang menyucuk hati..

SITUASI 3

Sekarang, mari bayangkan lagi. Kita di tikar sembahyang. Cuba untuk khusyu'.. tapi susah la jugak. Banyak benda berlaku hari ni.. Tiba-tiba ada suara bisik, " [ nama kita ] , awak ada 5 minit lagi ja untuk hidup" Rasa-rasanya apa perasaan kita time tu ek? Gelabah kah kita? Cool kah kita? Berdebar kah kita? atau...?

SITUASI 4

Cuba bayangkan lagi, kita tengah ber outing dengan kekasih hati. Best la kuar ngan dia, dah la caring pastu selalu buat aku happy.. Pendek kata, that is a meaningful moment untuk kedua-duanya .. Tiba-tiba , tengah melintas jalan ada kereta laju, tak sempat brek, langgar kita. Rasa-rasanya apakah perkataan first and the last yang bakal kita ungkapkan ek? mana yang lebih menguasai kita? Kesakitan yang sesaat atau keseronokan sepanjang hari??

*********************
Ok.. sekarang habislah sesi bayangan a.k.a berangan kita.. Kalau ikut pengkelasannya, situasi 1 dan 2, sangat common berlaku.. situasi 3 , wallahu a'lam.. situasi 4, boleh je berlaku..
Kalau nak diikutkan setiap daripada kita pernah melalui, saat-saat terakhir. orang kata waktu-waktu kecemasan la.. tak kiralah samada kita sedang membuat sesuatu yang kita suka ataupun tidak. Tapi pernahkan kita [ atau selalukah kita ] terfikir tentang bagaimanakah rupanya "waktu kecemasan " yang dari nas dan dalil, dari segi logik akal, serta hukum alamnya wajib terjadi terhadap diri kita. Adakah saat itu kita sudah bersedia, ataupun kita masih sibuk dibuai alunan dunia, atau bagaimana? Jom sama-sama kita renungkan...

"Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." ( Riwayat Ibnu Majah dan Abiddunya )

Dan ingatlah :

"Sakitnya sakaratul maut itu kira-kira tiga ratus sakitnya pukulan pedang." ( Riwayat Abiddunya ).Sesungguhnya Nabi s.a.w. mempunyai segelas air ketika hendak meninggal dunia. Baginda memasukkan tangannya ke dalam air, kemudian menghusap wajahnya dengan air itu dan berkata : "Ya Allah, semoga Tuhan mempermudah kepada saya terhadap sakaratul maut ini." ( Riwayat Bukhari dan Muslim )


Wallahu a'alam...



Monday, March 9, 2009

Ikhlaskah kita dalam persahabatan??


Tajuk entry kali ini saya kira sangat "common", tapi itulah yang bermain-main di fikiran saya kebelakangan ini. Peristiwa yang berlaku sehari-hari membuatkan saya semakin terfikir, sejauh manakah diri ini ikhlas dalam persahabatan. Memang saya tidak menafikan, saya amat menghargai setiap insan yang hadir dalam hidup saya, walaupun hanya dengan satu perkenalan.

Persahabatan memang menuntut keikhlasan, kadangkala persahabat menuntut kepada pengorbanan. Malunya diri ini bila memikirkan keikhlasan Saidina Abu Bakar , seorang sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan seluruh hartanya kerana sahabatnya yang dicintai. Terlalu kerdil diri ini jika mahu dibandingkan dengan keihklasan insan-insan yang telah dijanjikan syurga.

Saya percaya, setiap orang mesti ada kisah persahabatan masing-masing; dan semestinya ada kisah suka, kisah duka, kisah pahit mahupun manis. Tidak kurang juga kisah-kisah "sengal" juga kisah-kisah merepek.

Tidak kiralah berapa juta kisah yang kita pernah alami, tapi saya ingin menyeru kepada diri sendiri dan juga sesiapa sahaja untuk kembali bermuhasabah;
adakah kita ikhlas dalam persahabatan kita?
Adakah kita bersahabat sekadar untuk memenuhi keperluan kita?
ataupun kita bersahabat kerana ingin menumpang kelebihannya?
Ataupun kita bersahabat kerana kita takut diri kita kesunyian?
Ataupun kita bersahabat kerana kita ada certain expectation terhadap sahabat kita?

Beberapa persoalan lagi yang saya tujukan khas buat diri saya, dan moga-moga boleh bermanfaat kepada orang lain juga :

  • adakah kita orang yang pertama approach sahabat kita di kala dia di dalam kesusahan?
  • adakah kita peduli tentang kesengsaraan sahabat kita?
  • adakah kita sentiasa doakan mereka di dalam doa kita?
  • adakah kita sentiasa menginginkan yang terbaik utk mereka?
Banyak lagi persoalan yang boleh ditujukan kepada diri sendiri, sebagai satu cara untuk bermuhasabah dan memperbaiki segala kekurangan. Yang paling penting, ingatlah, Ikhlas itu adalah sesuatu yang dituntut dalam ibadah, selain daripada menurut syariat Allah. Moga-moga setiap persahabatan yang pernah dibina menjadi titian kita ke syurga Allah..

p/s : Terima kasih kepada sahabat2 yang banyak menyerikan hidup saya dan mengajar saya erti kehidupan. Maaf di atas segala kekurangan diri ini dalam persahabatan. Moga Persahabatan kita semua dibawah RedhaNya.

Tuesday, March 3, 2009

Antara kita dan anak-anak


Aku tersenyum seorang diri ketika membaca mesej yang dikirimkan oleh kak hah di facebook. Mesejnya berbunyi begini :

Re: maksu

"adib nak rumah mainan. hanan nak anak patung. abang fudhail nak buku matematik dengan bahasa inggeris, dengan sains. kakak nak baju barbie dengan anak patung barbie ."

Adeh, [berpeluh maksu kat sini]. Huhu. Itulah perangai kanak-kanak. Ada saja yang diidamkan. Belilah segunung mainan pun, lagi segunung pasti ada dalam list untuk diminta daripada ibu bapa.

Antara mengikut kehendak dan menghargai

Itulah dilema yang dialami oleh ramai yang bergelar ibu bapa. Mahu diikut kehendak anak-anak tapi kadangkala melampaui batas. Kalau tidak di ikut takut-takut anak rasa dirinya tidak dihargai atau disayangi.

Diri yang belum terjun ke medan yang sebenar sudah tentu tidak dapat memberi perincian yang sebenar.Namun hasil pemerhatian dan garapan pengalaman kukira mampu untuk menggariskan sebuah teori, yang mungkin berguna untuk diri sendiri.

Anak-anak memang patut dihargai, kehadiran mereka tidak patut diabaikan. Cumanya, bagaimana cara kita menghargai anak-anak itu berbeza dari satu sama lain. Jika ibu bapa rasa cara menghargai anak-anak adalah dengan membelikan kehendak mereka, maka itulah yang tertanam pada pemikiran anak-anak.

Taraf sosioekonomi rumahtangga yang semakin meningkat dari semasa ke semasa membolehkan ibu bapa zaman ini membelikan apa sahaja yang dipinta. Tidak kiralah permintaan yang sekecil batu, mahupun sebesar gunung, semuanya sanggup diberikan demi menghargai seorang anak.Biarlah ibu/ayah kurang makan bulan ini, asalkan anak tidur kekenyangan; asalkan anak gembira menatang apa yang mereka idamkan.

Namun kadangkala timbul persoalan dalam diri ini, adakah anak-anak tadi benar-benar menginginkan apa yang dipinta? ataupun mereka hanya mahu meraih perhatian. Perhatian. Itulah satu permata keluarga yang saya rasa semakin hilang dalam banyak keluarga yang saya temui. Ayah dan ibu, sibuk melayan penat kerjaya mereka, tekanan masalah kehidupan seringkali membuatkan mereka mencari jalan pintas untuk mendekati anak anak. Belikan sahaja apa yang mereka mahukan, pasti mereka akan rasa dihargai.

Saya akui, mengikut kehendak anak-anak adalah salah satu cara kita memberikan perhatian kepada mereka. Namun, percayalah, di luar sana ada seribu satu lagi senarai cara-cara memberikan perhatian kepada anak-anak. Perhatian melalui suapan material takkan berkekalan lama. Barangkali mungkin juga pendek jangka hayatnya memandangkan nilai material sentiasa jatuh seiiring masa yang berputar.

Susah sebenarnya untuk mendidik anak-anak, apatah lagi kerja ini bukanlah kerja untuk sehari dua, tetapi hingga ke hari tua biarpun kita sendiri sudah menjadi pesara. Oleh itu, seimbangkanlah approach kita terhadap anak-anak agar tidak pening di hari tua, dan yang paling penting keluarga kita terhindar dari api neraka yang terlalu galak menyala. Seharusnya pentarbiahan anak-anak itu bermula di saat seseorang belum berumahtangga kerana kejayaan tidak akan berlaku secara tiba-tiba sebaliknya memerlukan garapan usaha, seiring doa dan tawakal kepadaNya.

Sunday, March 1, 2009

[ entry cerpen ] Jendela Kehidupan

Titisan air jernih, tiba-tiba mengalir, melintasi kelopak matanya yang tampak sembab itu. Tasik air mata yang bergenang sejak tadi lagi, kini sudah mula melimpah, mencurahkan runtunan perasaan yang selama ini ditahannya. Perasaan berdosa yang setiap saat menghantui dirinya. Berdosa pada Tuhan yang menciptanya. Berdosa pada jasad yang tidak mengerti apa-apa.

Pandangannya dilemparkan jauh , meneliti pada pepohon sakura yang mekar, tersusun indah, menghiasi jalan utama di kota kecil itu. Jendela georgian house dilungsurkan sedikit ke atas, berasak bayu dingin masuk mengisi ruangan bilik yang panas itu. Hatinya tersentuh pada warna ungu lembut sakura yang menghiasi pandangan pancainderanya.



Dia termenung panjang, mengenangkan nasib hidup yang berliku. Hidup yang dianugerahkan kepadanya adalah kehidupan yang nyata. Bukanlah satu percubaan apatah lagi sebuah lakonan.Namun hidup itu adalah satu perjuangan. Perjuangan yang bakal membawanya menghadapi Tuhan. Pada hari yang dijanjikan.

Dia terus membiarkan nostalgia kisah kehidupannya menari-nari di fikiran. Sesekali , tangannya mengesat titisan air mata yang semakin laju jatuh berguguran. Nostalgia itu benar-benar membangkitkan sebuah penyesalan; dirinya terlalu hina dipalit dosa silam; apatah lagi mengenangkan dirinya yang semakin jauh dari Tuhan.

Sampai bilakah aku harus menangis meratapi kekesalan? Hatinya berhujah tegas. Ya, hatinya kini yakin, dia perlu berubah demi menagih keberkatan. Keberkatan yang hanya bakal hadir dari ehsan Tuhan. Tuhan yang menciptakan segala kejadian.

Sejadah biru laut dihamparkannya di lantai. Dia lalu tekad menyembah Tuhan, seikhlas mungkin mendambakan sejuta keampunan. Keampunan dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penerima taubat setiap insan.

"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. Az-Zumar: 53)